DI MANA BERLIAN ANDA?…
Berlian Di Dalam Diri
Adakah saudara percaya bahawa di dalam diri anda terdapat berlian yang berharga? Ya, sebenarnya di dalam diri saudara terdapat berlian berharga. Berlian adalah batu permata paling berharga di dunia. Dalam bentuk yang asli, ia adalah karbon dalam bentuk paling pekat. Berlian terhasil lebih kurang 161 kilometer atau 100 batu di dalam bumi.
Bagi menghasilkan berlian karbon di dalam bumi perlu mendapat tekanan seberat 435,113 paun bagi setiap inci persegi (psi) dan dipanaskan pada suhu yang tidak kurang daripada 400 darjah celcius. Apabila kedua-dua tekanan dan suhu ini tidak mencapai tahap yang disebutkan berlian tidak terhasil. Sebaliknya yang terhasil adalah grafit. Grafit adalah karbon yang lembut yang dapat dibeli di tepi jalan dalam bentuk pensel dan alat pelincir. Keb anyakan berlian yang kita lihat pada hari ini terhasil di bawah bumi jutaan tahun dahulu. Ini menjadikan berlian bahan mineral paling keras di muka bumi.
Sebenarnya manusia memiliki berlian di dalam dirinya kerana lebih daripada 18% jasad manusia terdiri daripada karbon. Namun berlian di dalam diri manusia tidak terhasil tanpa tekanan dan ujian sebagaimana berlian di dalam bumi tidak terhasil tanpa tekanan yang kuat dan suhu yang tinggi. Berlian di dalam diri manusia hanya terhasil apabila kesabarannya diuji, kecekalannya dicabar, kesungguhan dan kegigihannya disuling dan keimanan serta ketakwaannya ditapis. Apabila manusia berjaya melepasi ujian-ujian ini, dia menjadi permata umat yang mampu mengukir sejarah kecemerlangan dalam hidupnya. Pada masa itu dia mencapai kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan